CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Monday, October 27, 2008

sejarah hubungan luar Malaysia: Hubungan Malaysia & China

PENGENALAN

China selalu mendapat kedudukan yang unik dalam penyusunan dasar luar negeri Malaysia. Ada beberapa faktor dalam politik domestik Malaysia, seperti polarisasi antara kaum Melayu dengan kaum China dan aktiviti Parti Komunis Malaya (PKM), yang biasanya selalu dikaitkan dengan Republik Rakyat China (RRC). Tidak hairanlah kalau pemerintah Malaysia mengamalkan suatu dasar yang sangat berhati- hati dalam hubungannya dengan China. Tambahan lagi, banyak ciri khusus dalam geopolitik, ekonomi, politik dan sosial yang sangat berharga bagi Malaysia dalam menggubal dasarnya terhadap China.

Dalam esei ini penulis menekankan apakah bentuk- bentuk hubungan antara Malaysia dan China semasa era Tunku Abdul Rahman sehingga ke era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini.Walaubagaimanapun, pada zaman Tunku tidak terdapat langsung bentuk hubungan yang dijalinkan dengan China kerana sebab tertentu. Tetapi pada era Tun Abdul Razak telah membuat perubahan dengan mengadakan hubungan bersama China. Terdapat banyak bentuk hubungan yang di lakukan oleh Tun Abdul Razak dalam menjalinkan hubungan dengan China demi kepentingan Malaysia. Hubungan tersebut kekal hingga ke era Datuk Seri Abdullah Badawi sekarang. Dalam esei ini juga akan menceritakan apakah kebaikan yang diperolehi oleh Malaysia kesan daripada menjalinkan hubungan China.

Hubungan Malaysia dan China kalau di lihat melalui perspektif sejarah, bukan merupakan sesuatu yang baru, ini kerana Malaysia pada sekitar abad ke 15 di kenali sebagai antara kepulauan Melayu yang luas meliputi kepulauan indonesia dan borneo pada masa kini, dan nama Malaysia mula digunakan pada 1963 semasa hari pembentukan Malaysia. Malaysia meliputi 14 buah negeri Melayu di semenanjung dan Sabah dan Sarawak di kepulauan Borneo. Pada abad ke- 15, Kerajaan kepulauan Melayu di Melaka telah pun wujud satu hubungan diplomatik dengan negara China, hubungan tersebut lebih kepada bentuk persahabatan dalam kegiatan perdagangan yang memberi kebaikan kepada kedua- dua kerajaan tersebut.

Oleh itu, dasar luar Malaysia dengan China sememangnya sudah lama wujud sejak abad ke15 lagi, dan hubungan tersebut telah di eratkan lagi semasa eran Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Bentuk hubungan luar yang dijalinkan oleh sesebuah negara sebenarynya juga dipengaruhi oleh tindakan keputusan oleh seseorang pemimpin negara serta disebabkan faktor luaran dan dalaman sesebuah negara tersebut.


HUBUNGAN ANTARA ALAM MELAYU DENGAN NEGERI CHINA

Bilakah bermulanya hubungan antara Alam Melayu dengan China?. Hubungan antara Alam Melayu dengan negeri China wujud dalam bentuk perdagangan. Perdagangan telah berlangsung pada zaman Dinasti Han, tetapi rupanya masih sangat terbatas kerana teknik perkapalannya masih kurang maju. Tiap kali pelayaran ke luar negeri memerlukan masa tiga tahun, dan 2/3 daripada masanya dihabiskan dalam pelayaran di laut. Oleh itu, pengiriman utusan dan perniagaan luar negeri tidak mungkin sering dilakukan. Teknik perkapalan mencapai kemajuan besar pada zaman tiga kerajaan, terutama kerajaan wu yang terletaknya di bahagian selatan China konon sudah berupaya membuat kapal besar yang panjangnya 20 ”zhang” dan dapat memuat barang seberat 1000 tan. Kemajuan teknik perkapalan telah menyedikan frasarana yang lebih baik untuk mengembangkan hubungan dan perniagaan luar negeri, terutama kerajaan Wu Timur yang lebih berkepentingan dalam hal ini telah memberi perhatian besar untuk mengembangkan hubungannya dengan negeri- negeri di Asia tenggara. Secara tidak langsung bentuk hubungan perdagangan tersebut yang dijalinkan dengan Alam Melayu semakin utuh dan toleransi.

Selain itu, Alam Melayu dan negeri China menjalinkan hubungan diplomatik melalui persahabatan yang antara kedua- dua negeri tersebut. Ini dibuktikan dengan wujudnya lawatan oleh laksaman Zheng Hee ke Alam Melayu. Pada tahun 1405 beliau pertama dititahkan oleh maharaja Ming Cheng Zhu memimpin armada raksasanya untuk melakukan lawatan muhibah ke asia tenggara, asia selatan dan asia barat. Oleh itu, lawatan tersebut turut berada di Melaka, kerana Melaka merupakan sebuah negeri yang mempunyai pusat perdagangan yang masyhur ketika itu. Maka, hubungan persahabatan tersebut berkekalan baik antara Melaka dan negeri China pada jangka masa tersebut.

Demikianlah hubungan antara negeri China dengan Alam Melayu yang telah berlangsung selama 1,500 tahun lebih. Hubungan itu terus berkembang dan meningkat dari zaman ke zaman, sama ada hubungan rasminya mahupun hubungan perniagaan dan kebudayaannya. Dan semua itu menyediakan prasyarat bagi dinasti Ming yang terkemudian untuk meningkatkan hubungan itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi.


HUBUNGAN MALAYSIA - CHINA: TUNKU ABDUL RAHMAN


Pada zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957-1970, dasar luar Malaysia berada pada tahap pengasasan dan pengembangan. Pendekatan ini bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan antikomunis, selain situasi politik domestik yang kurang stabil ketika itu. Dalam konteks ini, pada era Tunku Abdul Rahman tidak terdapat sebarang hubungan antara Malaysia dan China.

Tunku Abdul Rahman mula menerajui kerajaan setelah parti perikatan pimpinannya mencapai kemenangan besar di dalam pilihanraya persekutuan yang diadakan pada tahun 1995. Oleh itu, Tunku telah dipilih sebagai ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama dan pada masa yang sama menjawat Menteri Luar Negeri. Sepanjang pentadbirannya, tunku adalah teraju utama dalam menggubal, menetap dan menjalankan dasar- dasar luar negera. Apabila Persekutuan Tanah Melayu bebas menjalankan dasar- dasar luarnya tanpa pengawasan pihak British, Tunku yang juga merupakan menteri luar negeri telah menggunakan kedudukannya dengan sepenuhnya. Sebahagian besar dari dasar luar yang diamalkan oleh persekutuan Tanah Melayu adalah dasar yang ditetapkan oleh beliau tanpa sebarang perundingan dengan lain- lain pemimpin kabinet. Oleh itu, adalah tidak keterlaluan jika dasar luar pada masa tersebut disifatkan sebagai 100% menggambarkan pandangan dan pandapat beliau, manakal kabinet adalah sebagai badan yang mengesahkan segala keputusan yang telah beliau tetapkan.

Ketika Tunku mengetuai kerajaan tunku telah mengambil dasar luar yang terkenal sebagai “pro barat anti komunis”. Hal tersebut dapat dilihat dengan jelas melalui hubungan yang lebih tertumpu kepada Negara- Negara barat, manakala kepada Negara- Negara komunis Tunku sentiasa menyimpan perasaan curiga. Khasnya hubungan dengan Malaysia dengan China.

Tindakan Tunku yang bersifat pro barat dan anti komunis sebenarnya bukan satu tindakan yang membuta tuli. Tetapi tindakan beliau mempunyai sebab dan sangat dipengaruhi perasaan sendiri. Sekiranya Tunku adalah seorang yang benar- benar anti komunis, adalah sesuatu yang ganjil apabila Rusia mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia. Lebih- lebih lagi pada waktu tersebut Rusia kerap dianggap sebagai pemimpin kepada Negara- Negara di dalam blok komunis. Apabila diteliti, akan didapati bahawa sebenarnya tunku melaksanakan dasar yang lebih anti kepada China dari keseluruhan Negara- Negara di dalam blok komunis.

“Saya bukan anti komunis secara membuta, saya hanya menentang Negara- Negara komunis yang cuba, melalui kegiatan- kegiatan subversive cara- cara yang militant, untuk mengeksport ideology mereka ke Negara kita, dengan cara inilah saya anti komunis. saya tidak menentang fahaman komunis kalau mereka bendung fahaman itu dalam lingkungan sempadan mereka”.

China dilihat dalam banyak keadaan membawa masalah besar kepada keselamatan Negara. Sokongan mereka terhadap perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan konfrontasi yang dilancarkan oleh Republik Indonesia, memperlihatkan tindak- tanduk mereka yang jelas cuba mencampur hal pentadbiran Negara. Dasar ini bercambah ekoran daripada niat China ingin memperluaskan ruang lingkup pengaruh ideologi komunis ke Negara luar. Tindakan China untuk melibatkan diri secara aktif di dalam tindakan subversive PKM dan sokongannya terhadap Indonesia yang melancarkan konfrontasi keatas Malaysia telah menyebabkan usaha untuk mengadakan hubungan diplomatik secara rasmi diantara hubungan diplomatik secara rasmi diantara kedua- dua Negara semakin sukar.

Bukti Malaysia tidak mengamalkan dasar berbaik- baik dengan China ialah apabila Malaysia awalnya mengadakan dasar mengiktiraf “dua China” di Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB), mengiktiraf China tetapi pada masa yang sama turut mengiktiraf Taiwan. Sebenarnya tindakan ini bercanggah dengan perlembagaan PBB. China memang berusaha untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia tetapi tidak mendapat layanan daripada pemimpin Negara, pada masa yang sama, Tunku juga telah membuat kecaman demi kecaman dan mengutuk keras terhadap beberapa tindakan China yang dengan jelas menggugat kestabilan Negara- Negara di rantau asia. Hal ini berikutan kerana tindakan China yang mahu mencampuri urusan pentadbiran dalam Negara, ekoran daripada perhubungan ideologi daripada PKC dengan PKM, yang hanya menurut mereka berdasarkan ideologi parti dan bukan melalui pentadbiran Negara. Ini membawa implikasi perasaan curiga Tunku kepada China semakin menebal.





USAHA AWAL KEARAH PEMBENTUKAN HUBUNGAN DIPLOMATIK


Hubungan awal antara Malaysia dengan China diperkukuhkan semula dengan kehadiran ramai imigran Cina yang datang menetap di Tanah Melayu terutamanya sejak akhir abad ke-19 dan akhirnya membentukkan diri mereka sebagai kaum Cina di Malaysia. Maka saat inilah terbukanya lembaran baru kearah wujudnya semula hubungan Malaysia- China, miskipun pada tahap awalnya hanya melibatkan antara kaum Cina yang menetap di Malaysia dengan kaum keluarga mereka di sana. Perhubungan rakyat Malaysia-China pada awal abad ke- 20 jelas dapat dilihat apabila wujudnya peranan dan bantuan oleh kaum Cina Malaysia di Pulau Pinang dalam menggerakkan Revolusi 1911 yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen bagi menamatkan system kemaharajaan China yang telah berlngsung lebih daripada dua ribu tahun di Negara tersebut. Malah dalam tempoh 1905 hingga 1911, Dr. Sun Yat Sen pernah lima kali datang ke Pulau Pinag.

Hubungan antara kaum Cina dengan Negara China lebih menonjol selepas berakhirnya perang dunia kedua pada 1945. Kebanyakan komuniti China yang sebelum ini menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu ketika era perang dunia kedua meneruskan perjuangan melalui Parti Komunis Malaya (PKM) kearah menegakkan ideologi komunis di Negara ini. Aspek perhubungan antara parti dan parti ini, diteruskan kesinambungannya melalui sokongan dan bantuan Parti Komunis China (PKC) kepada perjuangan PKM sehingga menyebabkan pemerintah Tanah Melayu menanggap China sebagai musuhnya dalam konteks hubungan luar ketika itu.

Namun,iktibar daripada insiden- insiden yang menggugat kestabilan politik dan keselamatan, perubahan suasana politik antarabangsa, peralihan pucuk kepimpinan Negara dan juga keanggotaan Malaysia dalam ASEAN yang seterusnya cuba menggerakkan dasar berkecuali rantau ini menjadi pemangkin kepada usaha mewujudkan hubungan diplomatik dengan semua Negara dunia ini tanpa mengira sebarang ideologi yang dianuti oleh Negara- Negara tersebut. Seterusnya, hubungan yang keruh ini berubah kepada dimensi baru apabila Tun Abdul Razak menjadi pemerintah Negara dan juga ekoran Timbalan Perdana menteri merangkap menteri luar Malaysia iaitu Tun Dr. Ismail Abd. Rahman menggerakkan Deklarasi Kuala Lumpur pada tahun 1971 yang membawa kepada penisytiharan Asia Tenggara sebagai Zon aman, bebas dan berkecuali atau ZOPFAN.

Menjelang 1970 Malaysia mula mewujudkan dan memperluaskan hubungan luarnya dengan Negara- Negara Afro-Asia dan Negara- Negara blok komunis berikutan kesedaran tentang hakikat kebergantungan kepada blok barat semata- mata menyebabkan Malaysia turut terpisah dengan Negara- Negara lain terutamanya blok komunis. Pada awal tahun 1970, terdapat tanda- tanda awal kea rah mewujudkan hubungan diplomatik dengan China ekoran kejadian rusuhan kaum 13 mei 1969 yang telah menimbulkan kesedaran kepada kepimpinan Malaysia tentang keperluan hubungan ini berikutan keengganan Britian, Australia dan New Zealand membantu Malaysia bagi mengahadapi masalah tersebut dan juga factor penggunaan pendekatan diplomasi terhadap China bagi merungkaikan masalah keselamatan Negara ini.

FAKTOR YANG MENENTUKAN HUBUNGAN MALAYSIA- CHINA

Antara faktor yang menyebabkan hubungan Malaysia- China ialah apabila Tun Abdul Razak menyedari bahawa dasar yang terlalu pro barat semata- mata menyebabkan Malaysia tidak popular dikalangan Negara- Negara Afro-Asia. Oleh itu, Malaysia mula menunjukkan perubahan sikap dengan sedia berlembut dalam pendiriannya yang anti-komunis dan pro barat, lantas kian beralih pula kepada pendirian kehidupan bersama (peaceful co-existance). Dasar berbaik- baik ini telah membuka laluan kepada tercetusnya hubungan Malaysia- China, memandangkan ketika era konfrontasi, China secara tidak langsungnya menyebelahi Indonesia. Oleh itu, Tun Abdul Razak beranggapan bahawa Malaysia bukan sahaja perlu memulihkan hubungan dengan Indonesia, malah sekutunya iaitu China.


Selain itu, aspek penting dalam pemulihan perhubungan di antara Malaysia- China adalah kesediaan China dalam memperjuangkan prinsip keamanan bersama di peringkat antarabangsa yang telah dapat menyakinkan Negara ini bahawa China boleh memberi sumbangan yang lebih positif kepada keamanan dan kestabilan rantau Asia Tenggara. Disamping itu kewujudan masyarakat Malaysia yang berketurunan Cina lebih kurang 28% jumlahnya daripada keseluruhan penduduk Negara ini juga dianggap sebagai faktor penting, serta pertimbangan ke atas pengaruh gerakan komunis di rantau ini yang mendapat bantuan moral dan kewangan dari Negara China sebelum ini juga turut di ambil kira.

Manakala faktor dalam negeri, apabila rusuhan kaum 13 mei 1969 begitu mengejutkan sehingga pihak kerajaan Malaysia terpaksa mengambil tindakan yang radikal seperti mengemaskini perlembagaan, menghentikan segala kegiatan politik, dan mengadakan peraturan undang- undang darurat di bawah Majlis Gerakan Rakyat (MAGERAN) selama lebih kurang 17 bulan mulai 16 mei 1969. Peristiwa ini yang didalangi oleh anasir komunis adalah bertujuan untuk menimbulkan pergaduhan dan mencetuskan huru- hara bagi mendesak kerajaaj membatalkan keputusan pilihanraya 1969. Tun Abdul Razak yang mempengurusi MAGERAN berkesempatan menyelidiki punca sebenar peristiwa tersebut secara mendalam dan beranggapan bahawa semua kaum dalam Negara ini perlu diberi perhatian dan tumpuan yang sama bagi mengelakkan sebarang komplikasi kemudiannya. Bagaimanapun, kekesalan terhadap pihak Britian dan Australia yang tidak membantu dalam mengahadapi peristiwa ini telah menyedarkan Tun Abdul Razak tentang keperluan Malaysia memperluaskan dan menjalinkan hubungan dengan semua Negara tanpa mengira sempadan ideologi. Disamping itu, kekalahan teruk MCA kepada DAP pada pilihanraya 1969 juga menjadi petanda bahawa kerajaan telah kehilangan sokongan daripada majoriti kaum Cina. Oleh itu, satu pendekatan memenangi hati kaum Cina di Malaysia perlu dilakukan dan memberi laluan kepada hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.


Faktor lain antaranya, seperti Britian mahu membatalkan AMDA, dan digantikan pula dengan Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Britian, Australia dan New Zealand pada tahun 1971. Namun didapati bahawa perjanjian ini adalah longgar dan tidak mengandungi janji yang tetap untukmempertahankan Malaysia jika diperlukan. Oleh itu jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak lagi bergantung kepada Britian dan harus berdikari dalam bidang pertahanan pada masa hadapan, disamping dalam masa yang sama Negara masih dicengkam dan dibelenggu oleh masalah ancaman keselamatan dalam negari oleh PKM. Maka, satu pendekatan baru dalam dasar luar yang lebih terbuka harus diambil dengan mengambil kira faktor diplomasi dan perhubungan dengan China yang merupakan kuasa besar di rantau Asia bagi menjamin keselamatan Malaysia

HALANGAN DALAM MEJALINKAN HUBUNGAN MALAYSIA- CHINA
China telah mengubah corak pentadbiran dasar luarnya selepas kegagalan Revolusi Kebudayaan dan pengumuman “The Five Principles of Peaceful Co-existence” yang menjadi prinsip asas dasar luar di China oleh perdana menterinya, Zhou Enlai. Prinsip ini telah memberi keyakinan kepadan Tun Abdul Razak untuk menjalinkan hubungan dengan China lebih erat.
Walaubagaimanapun halangan utama yang membatasi cadangan mewujudkan hubungan dua hala Malaysia dengan China ialah soal kehadiran jumlah masyarakat Cina yang ramai di Malaysia. Ini kerana komuniti Cina ini sentiasa dilihat sebagai ‘ruang berkembangnya’ pengaruh komunisme di Malaysia. Malahan mereka juga turut dianggap sebagai sebuah kumpulan yang dapat diresapi dan digerakkan dengan besar- besaran oleh ideologi komunisme. Oleh itu, kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya kaum Melayu, bimbang kestabilan Negara ini akan lebih terancam jika hubungan diplomatik dengan China diwujudkan, atas anggapan bahawa kewujudan ramai kaum China di Malaysia boleh menyebabkan situasi tersebut terjadi. Justeru, Tun Abdul Razak terpaksa memperjelaskan kesignifikan untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China ini melalui siri- siri perbahasan di perlimen bagi menyakinkan rakyat Negara ini.
Keadaan untuk mewujudkan hubungan diplomatik ini sebenarnya adalah gambaran yang terpancar daripada persepsi para peneraju cabinet sebelum pentadbiran Tun Abdul Razak lagi. Sebaliknya, beliau merasakan bahawa harus dilakukan perubahan dalam konteks hubungan yang berlandaskan paradigma ini memandangkan terdapatnya peralihan dalam beberapa isu yang berkaitan oleh kedua- dua belah pihak. Misalnya, ancaman komunis di dalam Negara ini mulai berkurangan dan dapat dikawal dengan baik. Dengan wujudnya jalinan hubungan ini akan melemahkan propaganda pihak PKM yang kononnya mendakwa bahawa mereka berjuang untuk menghapuskan sistem pemerintahan Malaysia yang dianggap sebagai masih berunsur feudal.
HUBUNGAN MALAYSIA- CHINA ERA TUN ABDUL RAZAK
Diplomatik

Hubungan antara Malaysia dan China sebenarnya telah terjalin secara tidak rasmi terutamanya dalam bidang ekonomi meskipun kedua- dua Negara ketika itu belum lagi menjalinkan hubungan diplomatik. Hubungan ekonomi yang terjalin selama ini adalah lebih berlandaskan kepada sektor perdagangan dan sosio- budaya, walaupun ketika tiada sebarang tanda- tanda kemungkinan hubungan rasmi antara kedua- dua pihak dapat dilaksanakan. Namun, sesungguhnya peralihan pucuk pimpinan Malaysia kepada Tun Abdul Razak pada bulan September 1970 telah membuka jalan kepada hubungan secara rasmi dapat direalisasikan kemudiannya.

Apa yang jelasnya, langkah awal yang di ambil oleh Malaysia dalam menjalankan hubungan ini ialah dengan mengiktiraf China sebagai sebuah kuasa besar di rantau ini yang mempunyai peranan utama untuk dilaksanakan dalam arena politik antarabagngsa. Ini kerana China dalam tempoh tersebut telah dipencilkan oleh masyarakat dunia mengikut pandangan Tun Abdul Razak, keadaan ini akan terus menggugat kestabilan dan keselamatan rantau Asia Tenggara sekiranya China tidak diberikan hak sebagai sebuah Negara yang merdeka.

Ekoran daripada ini, Tan Sri Ghazali Shafie turut menjelaskan mengenai rasional di sebalik pengiktirafan China di peringkat antarabangsa dengan menyatakan bahawa pengenepian China adalah sebagai satu langkah yang tidak wajar memandangkan China mempunyai peranan tersendiri yang tidak kurang pentingnya di peringkat antarabangsa. Oleh itu, dalam konteks ini Malaysia telah memulakan langkah mengiktiraf China dan seterusnya mengambil tindakan menamatkan hubungan dan pengiktirafannya ke atas Taiwan. Malahan Malaysia telah menyokong kemasukan China kedalam PBB.

Kemuncaknya, Tun Abdul Razak telah mengadakan lawatan rasminya ke China selama enam hari bermuda dari 28 Mei 1974 hingga 2 Jun 1974. Beliau merupakan pemimpin negara ini yang pertama mengadakan lawatan rasmi kenegara komunis tersebut. Oleh itu, kedatangan beliau telah disambut dengan meriah dan diberikan liputan yang meluas dan komen yang memberasangkan oleh media dan juga pihak-pihak yang berpengaruh sama ada di China ataupun juga di Malaysia. Namun lawatan ini sebenarnya telah membawa pelbagai kesan yang masing-masing dirasakan oleh Malaysia, China dan juga PKM. Bagi Malaysia, beliau menyatakan bahawa lawatannya ke China telah mencapai matlamat-matlamat yang diharapkan dan merupakan satu kejayaan yang cemerlang terutamanya dalam konteks mempertingkatkan kedudukan negara dalam arena politik antarabangsa.

Dalam perjanjian antara kedua-dua negara yang dimeterai oleh pemimpin kedua-dua negara, Zhuo Enlai dan Tun Abdul Razak, telah bersepakat dan berikrar untuk berpegang kepada beberapa prinsip utama peaceful co-existence yang didokongi secara bersama. Di antara prinsip-prinsip tersebut ialah kedua-dua belah pihak saling menghormati kedaulatan dan kewilayahan negara masing-masing, saling tidak mencampuri hal ehwal dalam negara, saling tidak melakukan sebarang tindakan agresif, menikmati keuntungan bersama dan kewujudan bersama dalam keadaan aman damai. Pengistiharan ini juga didapati turut melibatkan tentang hal-hal yang merujuk kepada penerimaan kedua-dua buah kerajaan terhadap hak masing-masing untuk menentukan dan mengamalkan sistem sosial yang diperlukan. Oleh itu, pemilihan yang dibuat ini pula tidak seharusnya ditentang atau cuba dipengaruhi oleh mana-mana kuasa lain.

Lima prinsip ini secara umumnya selepas dipersetujui telah diaplikasikan oleh kedua-dua buah negara dalam konteks hubungan dua hala. Namun begitu, di pihak China masih terdapat beberapa usaha atau tindakan yang dilihat seolaolah cuba mencampuri urusan dalaman negara ini terutamanya berkaitan dengan sokongan terhadap perjuangan PKM, meskipun secara dasarnya China telah bersetuju dengan prinsip-prinsip bersama yang diguna pakai dalam menjalin hubungan luaranya. Keadaan ini secara tidak langsungnya menyebabkan Malaysia membuat bantahan rasmi kepada pihak China ekoran sokongannya secara terbuka terhadap PKM dalam siaran radio Parti Komunis China ( PKC ) sempena ulang tahun penubuhan PKM pada tahun 1976. Hal ini terjadi kerana China telah meneruskan dasarnya yang membezakan ,perhubungan antara kerajaan dengan kerajaan, dan perhubungan antara parti dengan parti yang bererti bahawa PKC dari sudut pandangan kepimpinan China adalah boleh berhubung dengan parti komunis yang lain.

Namun begitu, apa yang jelasnya ialah semasa pentadbiran Tun Abdul Razak, dimensi baru yang dibawa bukan sahaja melibatkan bentuk dasar luarnya dalam bidang diplomatik, malah turut juga melibatkan kerjasama ekonomi. Berikutan dengan perubahan ini, hubungan Malaysia dengan China seperti yang dibincangkan sebelum ini semakin bertambah baik. Sementara itu, kesediaan Tun Abdul Razak untuk mengadakan hubungan yang lebih luas khususnya dari segi hubungan diplomatik seperti yang dibincangkan sebelum ini telah membawa kesan yang besar kepada sektor perdagangan kedua-dua belah pihak.

Perdagangan
Hubungan awal perdagangan Malaysia- China ini sebenarnya bermula melalui kegiatan pengeksportan getah dan melalui perdagangan komoditi tersebut telah dapat mempercepatkan lagi proses kerjasama ekonomi yang lebih luas bagi kedua-dua negara. Selain itu, untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang perdagangan antara Malaysia dengan China dalam lingkungan tahun 1950 sehingga 1972. Dalam tempoh ini, antara barangan yang terlibat dalam hubungan dagang kedua-dua negara lebih menjurus kepada bekalan bahan mentah dan makanan. Oleh itu, Malaysia benyak mengesport getah, bijih timah, kelapa kering dan kayu gergaji ke China dalam usahanya untuk memperluaskan lagi pasaran barangan tersebut. Sementara itu, dalam tempoh tersebut juga, Malaysia banyak mengimport bahan makanan, barangan pengguna, alatan jentera dan herba perubatan dari China.

Meskipun tidak dinafikan terdapat hubungan dagangan dengan China, namun eksport komoditi seperti getah, bijih timah, dan kayu gergaji lebih terarah kepada barat dengan peratusan nilai dagangan yang tinggi. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana Malaysia sememangnya masih bergantung kepada blok barat dalam memacu pembangunan ekonominya, kesan daripada dasar kolonial British di samping penguasaan total sektor-sektor eksport seperti perladangan, perlombongan oleh syarikat-syarikat dari barat. Buktinya, kebanyakan lombong bijih timah, dan ladang getah ketika itu menyaksikan nisbah pemilikan yang besar oleh pengusaha-pengusaha dari barat seperti Guthrie, Harrisons and Crosfeild, Bikam Rubber Estate dan Lompard and Company. Jesteru, bagi memantapkan lagi kerjasama dagangan dengan China kerajaan Malaysia mewujudkan lagi kerjasama dagangan dengan China, iaitu dengan mewujudkan PERNAS ( Perbadanan Nasional Berhad ) sebagai badan kerajaan yang depertagungjawabkan untuk merancang dan menguruskan segala aktiviti- aktiviti perdagangan dan industri tempatan yang berurusan dengan China. Ini kerana sebelum kewujudan badan tersebut, perdagangan antara Malaysia ke China adalah diuruskan melalui egen di Singapura. Oleh itu, selepas kewujudannya golongan peniaga bumiputera telah dapat meningkatkan keterlibatan mereka dalam sektor perdagangan dengan China melalui badan tersebut, sedangkan peniaga China masih lagi meneruskan aktiviti perdagangan mereka melalui egen-egen di Singapura dan Hong Kong.

Seterusnya bagi menyemarakkan lagi hubungan dagang antara Malaysia- China, delegasi-delegasi perdagangan kedua-dua buah negara mula melakukan lawatan-lawatan dan menilai prospek untuk menjalinkan hubungan perdagangan secara kolektif. Siri-siri lawatan ini termasuklah seperti apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengerusi PERNAS dan juga lawatan delegasi perdagangan China ke Malaysia pada bulan ogos 1971. Ini kerana Tun Abdul Razak mempunyai dua motif utama meletakkan PERNAS dalam hubungan dagang dengan China, iaitu sebagai agen langsung Malaysia dalam hal-hal perdagangan dengan China bagi menggantikan fungsi orang tengah di Singapura. Manakala motif kedua pula adalah sebagai agen perantaraan negara ini yang bertanggungjawab meneroka pasaran baru dalam memasarkan barangan Malaysia di China. Di samping itu, badan ini juga dipertanggungjawabkan mengawal dan memantau hal-hal yang berkaitan dengan barangan yang diperdagangkan antara kedua-dua negara bagi pihak negara ini.

Kesannya, pada tahun-tahun berikutnya, jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat dengan begitu drastik sekali. Malah apabila pasaran getah negara menghadapi zaman kegelapannya sekitar pertengahan 1970-an, China telah menjanjikan pembelian tahunan yang melibatkan sejumlah 150 000 hingga 200 000 tan setahun. Peningkatan ini sebenarnya juga adalah berikutan dengan pengalihan arah dagangan China yang tidak lagi menggunakan Singapura sebagai orang tengah dalam konteks urus niaga pengeluaran getah dari Malaysia. Berikutan daripada ketidak seimbangan yang wujud, maka kerjasama ekonomi di antara Malaysia dan China seterusnya bermatlamatkan untuk memperbaiki keadaan ini. Oleh itu, usaha untuk memperbaiki keadaan ini telah dimulakan apabila Tun Abdul Razak menyedari hakikat ini. Misalnya , pada bulan Oktober 1975, Tun Ghafar Baba, Menteri Pertanian Malaysia telah melahirkan harapan agar China akan mempertingkatkan pembelian barangan dari Malaysia dalam usaha untuk memperbetulkan semula imbangan perdagangan ini. Sehubungan dengan itu juga, kerjasama ekonomi kedua-dua negara telah dipertingkatkan lagi. Misalnya, kerjasama di antara Perbadanan Perkapalan Laut Dalam China dan Badan Pusat Penempahan Kargo Malaysia yang berada di bawah Lembaga Perlesenan dan Tukaran Getah Malaysia ( MRELB) bagi menyelaraskan urusan dagangan antara kedua-dua negara.


Oleh itu, jelaslah bahawa perubahan bentuk dan polisi dasar luar serta jalinan hubungan diplomatik Malaysia- China yang berjaya dimanfaatkan hasil dari lawatan Tun Abdul Razak ke China pada tahun 1974, adalah merupakan langkah permulaan yang penuh bermakna dengan jalinan kerjasama diplomatik dan ekonomi kepada kedua-dua buah negara seterusnya. Dalam konteks kerjasama ekonomi, sektor perdagangan dilihat banyak menerima menfaat daripada hubungan ini di peringkat permulaan, diikuti dengan sektor pelaburan terutamanya kepada pihak Malaysia ketika era 1980-an semasa di bawah pentadbiran Tun. Dr. Mahathir.

HUBUNGAN MALAYSIA- CHINA ERA TUN Dr. MAHATHIR MOHAMMAD

Hubungan diplomatik
Setelah Tun Hussien onn menyerahkan jawatannya kepada Tun Mahathir Mohammad telah membawa satu era baru jelas kelihatan selepas beberapa tahun dibawah pemerintahannya. Beliau telah melawat negara China secara rasmi pada tahun 1985. Oleh itu, lawatan ini telah membuka jalan baru dalam perihal kerjasama ekonomi. Walaupun kerjasama ekonomi telah wujud lebih awal, kedua-dua negara ini telah mempertingkatkan kerjasama ekonomi dari pelbagai dimensi sehinggalah terbentuknya Suruhanjaya Bersama Ekonomi dan Perdagangan pada tahun 1992. selain itu, lawatan- lawatan pemimpin China ke malaysia seperti Presiden Jiang Zemin yang telah melawat Kuala Lumpur pada November 1994. pemimpin tertinggi yang lain seperti Li Peng dan Zhu Rhongji dan tidak ketinggalan Presiden China yang baru Hu Jianto turut tidak ketinggalan melawat Malaysia. Demikian juga, diperkuatkan lagi oleh lawatan Yang Dipertuan Agung Sultan Azlan Syah, Tuanku Jaafar dan Sultan Sallahuddin dalam tahun 1990-an.
Walaubagaimanapun, pengukuhan hubungan dua hala Malaysia juga diperbuat melalui pelbagai dasar, inisiatif dan penghantaran delegasi tambahan. Di samping itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada waktu tersebut iaitu Datuk Rafidah Aziz turut melawat China dan membawa beberapa rombongan pelabur secara berasingan, dan ini ditambah lagi oleh lawatan Menteri Pelancongan dan Menteri Pengangkutan telah mengukuhkan lagi hubungan Malaysia China ini. Justeru itu, selain inisiatif Suruhanjaya Bersama Ekonomi dan Perdagangan 1992, Mahathir juga turut menandatangani Peryataan Bersama Rangkakerja Masa Depan Hubungan Dua Hala ( Joint Statement Of Framework for Future Bilateral Relations) pada 31 Mei 1999 yang mana telah membuka skop yang lebih luas dalam melebarkan lagi kerjasama dua hala ini.
Di samping inisiatif dasar seumpama ini Mahathir turut memujuk peranan sektor swasta dari pelbagai sudut. Dan yang paling jelas beliau menggalakkan Perstuan Persahabatan Malaysia- China ( PPMC ) dan Persatuan Persahabatan China- Malaysia ( PPCM ) untuk bertindak aktif dalam mempertingkatkan lagi kerjasama di peringkat swasta dan masyarakat. Secara amnya dasar luar Mahathir terhadap negara China melambangkan beberapa persamaan utama dalam konteks hubungan Malaysia dengan dunia membangun. Hasil dasar luar yang pragmatik dan positif yang diamalkan oleh Mahathir turut membawa beberapa kelebihan kepada Malaysia. Contoh yang paling jelas adalah sokongan China terhadap inisiatif-inisiatif dasar luar Mahathir ialah China telah memberi sokongan yang padu dalam merealisasikan idea Kumpulan Ekonomi Asia Timur (EAEG). Walaupun, nama EAEG Belum direalisasikan tetapi institusi telah dibentuk melalui mesyuarat ASEAN cambur tiga dimana Jepun, Korea Selatan dan China menjadi ahli yang penting. Disini China tidak pernah menentang EAEG dan juga aktif dalam ASEAN cambur tiga. Selain itu, China turut mewujudkan Forum Ekonomi Dunia yang boleh memberi penekanan kepada kepentingan Asia dan Asia Pasifik.
Semasa Malaysia mengalami krisis ekonomi Asia, China sentiasa menyokong dasar kawalan matawang dan modal yang diperkenalkan oleh Malaysia. Demikian juga, China juga melihat secara positif idea-idea untuk mewujudkan Dana Kewangan Asia Timar (East Asian Monetary Fund) yang disokong oleh ASEAN dan negara Asia Timar yang lain sebagaimana bagi Malaysia yang telah menyokong China dalam hal seperti seperti kemasukan China ke dalam WTO pada tahun 2002. Di samping itu, kini ASEAN dan China telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan ASEAN-China Free Trade Area ( ACFTA) dengan sepenuhnya dalam tahun 2010. Dimana pembentukan ACFTA ini akan mempertingkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia- China sekiranya ia berjaya dilaksanakan. Ini kerana walaupun China telah menjadi ahli WTO, Namun dasar kebebasan ekonomi Belem dilaksanakan dengan sepenuhnya. Keupayaan China untuk sentiasa mengawal dan mengongkong sector-sektor tertentu dan pengekalan politik autoritariasisme yang mempengaruhi dasar liberalisasi ekonomi masih tidak boleh dinafikan sehingga kini.
Dimensi Keselamatan Dalam Hubungan Malaysia- China
Keselamatan negara, serantau dan global, merupakan satu dimensi yang paling signifikan dalam apa jua hubungan dengan China dimana kita juga tidak boleh menafikan kepentingan China dalam keselamatan di peringkat global dan rantau yang mana secara tidak langsung mempunyai implikasi keatas keselamatan negara. Walaupun, China tidak dapat menandingi kekuatan Amerika Syarikat Namun faktor-faktor tertentu telah meletakkan statusnya sebagai kuasa yang besar. Antara faktornya, seperti faktor strategik seperti populasi yang besar, kekuatan ekonomi, kuasa militer termasuk pemilikan senjata nuklear dan sistem pentadbiran dan politik yang stabil memaparkan bahawa negara China disegani sebagai salah satu kuasa besar. Oleh itu, China tetap menjadi suara terpenting dalam Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB ( Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu ).
Tetapi peranan China dalam keselamatan dunia dan serantau tetap dilihat oleh banyak negara dalam konteks yang lebih ditakuti. Ini kerana politiknya masih dikuasai oleh komunisme dimana Beijing masih mengongkong aspek-aspek kebebasan media, hak asasi manusia dan belum mempunyai rancangan pendemokrasian yang baik. Sejak kebelakangan ini para pentadbir Hong Kong mula merasa tekanan Beijing. Selain Hong Kong, China masih menggunakan kekerasan dan dasar kekuatan militer dalam isu penyatuan Taiwan. Tindak balas China terhadap pendirian Taiwan yang mahukan penghormatan dalam isu penyatuan tidak menggambarkan strategi diplomasi yang jelas. Tetapi senario strategik serantau semakin bertambah tegang kerana China memepertingkatkan kedudukan militer di Selat Taiwan.

Selain dari isu ancaman China terhadap Taiwan, negara-negara ASEAN termasuk Malaysia sentiasa bimbang terhadap dasar Beijing dalam krisis Spratlys di Laut China Selatan. Spratlys merupakan gugusan kepulauan yang kecil terletak di tengah-tengah Laut China Selatan lebih berhampiran dengan Zon Ekonomi Ekslusif Malaysia ( EEZ2) , Filipina dan Vietnam berbanding China. Namun China menuntut pulau-pulau tersebut atas asas sejarah . Di sini, Malaysia turut menuntut sebahagian dari Spratlys yang berada dalam lingkungan 200 batu nautika EEZ. Satu lagi faktor yang perlu diambil kira ialah People Liberation Army ( PLA ) turut melibatkan diri dalam pelbagai industri sampingan yang sukar untuk dinilai kos perbelanjaan dan keuntungannya dan apa yang jelas adalah kebangkitan China sebagai kuasa besar di arena serantau dari segi ketenteraan.
Walaupun perkembangan di atas menampakkan ancaman China yang tetap mencabar, ini tidak bermaksud bahawa ia tidak berhasrat mempromasikan inisiatif kedamaian, dimana China tetap menjadi ahli dalam Forum Serantau ASEAN (ARF) yang merupak satu-satunya forum yang memberi peluang untuk berdialog dan mewujudkan pelbagai inisiatif dan tindakan pemupukan keyakinanndi peringkat serantau. Demikian juga, Malaysia juga menerima lawatan-lawatan dari pegawai tertinggi tentera PLA. Misalnya pada Januari 1994 Ketua Staf Tentera Darat PLA, General Fu Quanyou melawat institusi-institusi ketenteraan dan akademik di Malaysia. Selain itu, begitu juga Timbalan Ketua Staf PLA melawat Malaysia pada Mac 2000 dimana lawatan ini sebenarnya telah membuka peluang antara kedua-dua negara untuk berdialog, bertukar pendapat dan juga mempertingkatkan kerjasama ketenteraan Malaysia- China.

Pada keseluruhannya kerjasama keselamatan di antara Malaysia dan China tetap berada dalam keadaan yang baik. Bagi Malaysia, isu-isu seperti potensi peperangan di Spratlys, Taiwan atau mana kawasan yang melibatkan China akan tetap dilihat sebagai satu ancaman, ini kerana konflik yang berkaitan dengan China boleh memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada keselamatan Malaysia apatah lagi dengan kedudukan China sebagai rakan dagang ke empat terbesar bagi Malaysia tetap memberi kesan yang pelbagai sekiranya China terlibat dalam mana-mana peperangan. Namun cabaran-cabaran keselamatan tersebut tidak begitu membimbangkan Malaysia. Disebabkan China tetap bersikap matang dalam isu-isu keselamatan global yang lain. Sebagai contohnya, China dan Malaysia tetap membantah serangan atau dasar-dasar Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan. Walaubagaimanapun hubungan ini tetap mencabar kerana ia boleh mewujudkan keadaan yang kurang stabil memandangkan dasar China yang tegas dalam isu-isu tertentu.
Perdagangan dua hala Malaysia- China
Perdagangan dua hala merupakan aspek yang paling penting dan seringkali ditimbulkan dalam pelbagai lawatan antara ketua-ketua negara dan juga menteri-menteri utama. Namun bagi Malaysia, perdagangan menjadi aspek utama dalam menentukan hubungan dua hala ini, ditambah lagi China yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion yang melambangkan potensi perdagangan yang begitu besar serta kemasukan China ke dalam World Trade Organisation ( WTO ) telah memberi jaminan yang begitu kukuh di mana Beijing telah mengiktiraf sepenuhnya sistem ekonomi pasaran bebas. Ditambah lagi dasar pasaran bebas China yang kini memberi dua perspektif penting dalam analisis perdagangan dua hala. Pertama ia memberi peluang yang begitu besar bagi banyak negara yang ingin berdagang dengan China dan seterusnya dapat memberikan pelbagai cabaran dan persaingan yang perlu ditangani oleh mana-mana negara yang ingin berdagang dengan China.

Perubahan yang besar telah berlaku ke atas perdagangan dua hala sebelum krisis ekonomi 1997. Justeru, Mahathir telah membuat dua lawatan dagangan yang besar ke China antara tahun 1993 dan 1996. Dimana lawatan pada 1993 merupakan lawatan yang paling penting berbanding dengan 1985. Ini kerana Mahathir turut cuba mendapatkan sokongan China ke atas inisiatif East Asian Economic Causus ( EAEC ) di samping mencari jalan untuk meningkatkan peluang perdagangan. Oleh hal yang demikina, peningkatan perdagangan dua hala sejak deligasi Malaysia pertama pada tahun 1985 telah diperkuatkan lagi oleh lawatan-lawatan Mahathir pada Jun 1993, November 1995 dan Ogos 1996. Di samping itu, tidak dapat dinafikan juga peranan Perjanjian Perdagangan Biletaral yang dimeterai pada tahun 1988 antara kedua negara ini. Selain itu, antara perjanjian lain yang tidak kurang penting ialah penglibatan Standards and Industrial Research Institute of Malaysia ( SIRIM ) dan State Administration on Import- Exports Commodities Inspection of China ( SACI ) dalam menilai kualiti barangan. Serta pada tahun yang sama China National Technical Import and Export Corporation ( NTIEC ) telah membuka pejabat perwakilan di Kuala Lumpur.
Implikasinya pengenalan dan pengamalan dasar-dasar tersebut turut membantu mempengaruhi trend peningkatan dua hala pada penghujung 1990-an dan juga permulaan abad ke-21. Demikian juga , keadaan ini dapat dilihat apabila nilai dagangan dua hala Malaysia- China meningkat dari RM29 bilion kepada RM 73 bilion antara tahun 1997 dan 2002. walaubagaimanapun, peningkatan yang begitu besar pada penghujung pentadbiran Mahathir disebabkan perubahan dasar. Antara perubahan dasar yang paling ketara pada tahap awal abad ke -21 adalah kemasukan China ke WTO pada tahun 2002. Seterusnya kini, Malaysia telah menjadi rakan dagangan yang terbesar dari rantau ASEAN bagi China. Begitu juga bagi Malaysia, dimana China telah menjadi rakan dagangan yang ke empat terbesar selepas Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura. Oleh itu, apa yang diberi perhatian ialah strategi yang diamalkan kedua-dua negara disamping lawatan kenamaan yang membawa delegasi yang besar berjaya mengeratkan lagi hubungan dua hala ini khususnya dalam bidang perdagangan.



SUMBANGAN BAIK KEPADA MALAYSIA

Faedah yang diperolehi kesan daripada perhubungan dengan China terbukti kesan daripada penglibatan Malaysia secara aktif dalam ASEAN dan NAM. Kedua-dua pertbuhan ini kemudiannya telah digunakan oleh Malaysia untuk mendapatkan pengiktirafan daripada China ke atas cadangan-cadangan seperti ZOFPAN dan Dasar Pengecualian Asia Tenggara yang dirintis dan diusahakan oleh Malaysia. Ini kerana penerimaan kedua-dua usul ini oleh China yang merupakan idea tajaan Malaysia mewakili ASEAN adalah kriteria asas yang paling signifikan untuk membolehkan kedua-dua kerajaan berhubung secara rasmi kelak. Pengiktirafan tersebut telah menjamin keselamatan rantau Asia tenggara khususnya ahli- ahli ASEAN.

Selain itu, hubungan kerjasama antara Malaysia- China juga berjaya mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala di mana peratus kegiatan import dan eksport antara kedua-dua negara kini sangat besar jumlahnya. Sementara itu, sumber diplomatik memberitahu, peningkatan dalam hubungan ekonomi dan kebudayaan antara kedua-dua negara juga dibantu oleh peningkatan dalam sektor pelancongan dan pendidikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam tahun 2004 sahaja, lebih setengah juta pelancong dari China telah melawat Malaysia berbanding 351,000 dalam tahun 2003, dan peningkatannya adalah mendadak sejak akhir-akhir ini. Kesan daripada hubungan baik dengan China dalam bentuk ekonomi yang sejak dari era Tun Abdul Razak lagi telah membuka pasaran yang luas kepada Malaysia bagi memasarkan barangannya ke China. Situasi ini sangat mengguntungkan Malaysia kerana China mempunyai pasaran yang luas dan kuasa beli yang tinggi. Hubungan tersebut telah di perkukuhkan semasa era Tun Mahathir hingga pada era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini.

Melalui prinsip peaceful Co- existence yang didokong oleh Malaysia dan China telah membawa kebaikan kepada Malaysia dan China, kerana kedua- dua pihak berjanji akan menghormati kedaulatan dan wilayah masing- masing. Serta kedua- dua negara berjanji tidak melakukan tindakan agresif bagi menjaga keamanan kedua wilayah serta bersama menikmati keuntungan yang di jalinkan. Oleh itu, prinsip ini telah memberi gambaran bahawa kedaulatan Malaysia sebagai sebuah Negara di Asia Tenggara di iktiraf oleh China.

KESIMPULAN

Dasar luar Malaysia sangat penting dalam menentukan hala tuju negara untuk mencari keamanan dan kemakmuran bagi negara Malaysia. Hubungan luar Malaysia banyak di zahirkan melalui hubungan diplomatik antara negara serta melaluai hubungan perdagangan yang pesat dijalankan oleh Malaysia dalam menjana pendapatan negara. Permulaan hubungan Malaysia dengan China bukan merupakan sesuatu yang baru, kerana hubugan yang baik tersebut telah di jalinkan sejak Zaman kesultanan Melayu Melaka lagi dengan negeri China dalam era pemerintahan imperialnya. Walaubagaimanpun, hubungan tersebut berubah ketika era Tunku Abdul Rahman kerana Tunku menjalankan dasar luar yang pro barat dan anti komunis. China ketika itu sangat dikenali sebagai sebuah negara yang sangat berpegang kuat kepada fahaman komunis. Tetapi, Lembaran baru telah di lakukan oleh Tun Abdul Razak iaitu perdana Malaysia kedua, apabila beliau menukar dasar luar Malaysia kepada berbaik- baik dengan semua negara tanpa mengira sempadan idiologi. Oleh itu, Malaysia telah menjalinkan hubungan baik dengan China demi kepentingan Malaysia sendiri serta disebabkab faktor dalaman dan luar yang dihadapi oleh Malaysia. Hubungan Malaysia- China ini diteruskan oleh kepimpinan negara hingga kepada hari ini.











SENARAI RUJUKAN

Abdullah Ahmad.1987. Tengku Abdul Rahman dan dasar luar Malaysia 1963- 1970.
Berita Publishing: Kuala Lumpur

Badriyah Haji Salleh.1990. Imperialisme ekonomi: kajian kes ke atas imperialisme dan
industri getah di Tanah Melayu. Dlm. Cheah Boon Kheng dan Abu Talib Ahmad. Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara lain. Fajar Bakti. Petaling Jaya

Chamil Wariya. 1989. Dasar Luar Era Mahathir. Petaling Jaya. Fajar Bakti Sdn

Ghazali Shafie. Malaysia’s foreign policy, dlm. Malaysia: international relations

Joseph Camilleri. Southeast Asia in China, s foreing policy

Khaw Guat Hoon. Dasar Malaysia terhadap pengasingan kuasa-kuasa besar di Asia
Tenggara

Kong Yuanzhi. 2000. Pelayaran Zheng he dan Alam Melayu. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Liang Liji. 1996. Hubungan Empayar Melaka- Dinasti Ming abad ke-15. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia

Nabir Haji Abdullah. 2003.Tun Haji Abdul Razak (1923-1975): bapa pembangunan
negara, Dlm. Ramlah Adam (pngr.), pejuang- pejuang kemerdekaan. Melaka:
institut kajian sejarah dan Patriotisme Malaysia


Nie Dening. Changes in the trading ties between China and Malaya: prewer to postwar

Obaidellah Mohamad. 2004. China: Isu dan Hubungan Luar. Kuala Lumpur. Universiti
Malaya

R. K. Jain. 1984. China dan Malaysia 1949-1983. New Delhi. Radiant Publisher

Statement on return. Dlm. Forgein Affairs Malaysia. Vol.7. No.2. Kementerian Luar
Negeri.

Statement on return. Dlm. Forgein Affairs Malaysia. Journal.

Termination of consular Relation with Taiwan. Dlm. Forgein Affairs Malaysia.


Wang Gungwu.1981. The question of overseas Chinese, dlm. Community and nation:
essays on Southeast Asia and the Chinese, ASAA Southeast Asia Publishing
Series, Heinemann Education Books (Asia), Singapore